Wednesday 13 June 2012

MENGAPA SAYA LEMAH  DALAM KIMIA?
Ini adalah soalan yang kerap ditanya oleh pelajar baik kepada saya mahupun kepada diri mereka sendiri.
Sebenarnya bagi saya jawapannya agak 'obvious' hanya adakah para pelajar sekelian ikhlas mahu mengetahuinya. Dan yang lebih penting bertindak untuk mengatasi kelemahan itu?

Saya baru sahaja selesai menanda kertas peperiksaan pertengahan tahun pagi tadi (8/6/12) , bermacam-macam perasaan bermain di hati dan kepala saya .Perasaan marah ,sedih kecewa silih berganti. Mengapa tidak? Soalan yang telah dibincang dalam kelas tetapi daripada jawapan pelajar seolah-olah baru pertama kali menjawabnya.

Pelajar selalu mengaku kepada saya mereka faham bila saya mengajar di dalam kelas. Betulke? Kalau betul mengapa markah yang didapati sangat rendah? Sebenarnya saya percaya kepada pengakuan mereka itu. Mereka memang faham semasa belajar di dalam kelas. Malangnya, pembelajaran mereka berakhir di situ  dan akan bersambung semula bila mereka masuk ke kelas kimia di hari yang berikutnya. Di waktu antara kelas -kelas itu pelajar tiada usaha untuk menelaah, membaca atau membuat latihan kimia.  Kami, cikgu bukannya tidak tahu perkara ini berlaku. Maka sebab itu kami membekalkan pelajar dengan kerja rumah. Masalahnya pelajar tidak memanfaatkan waktu mereka membuat kerja rumah. Pelajar selalu meniru semasa membuat latihan yang diberi , ada yang menyalin kerja kawan dengan tidak mempedulikan sama ada apa yang disalin itu betul atau tidak. Mengapa perkara ini berlaku? Sibuk sangatkah pelajar kita hari ini sehingga kerja rumah dibuat asalkan  siap?

Satu lagi perkara yang perlu saya tekankan ialah tentang tusyen. Boleh dikatakan setiap pelajar tahu pentingnya tusyen. Masalahnya , ramai pelajar beranggapan  bila mereka mengambil kelas tusyen,  mereka secara automatik akan  dapat menguasai dan  memahami  kimia dengan baik. Jika ini tidak berlaku,  mereka akan  meletakkan kesalahan  itu 100%  pada guru tusyen pula.  Agaknya sampai bila kita hendak menyalahkan orang lain? Saya hanya mengharapkan sikap sebegini tidak berterusan apabila pelajar  berada di alam  pekerjaan.

Saya ingin bertanya , tahukah pelajar apa  maknanya belajar ? Untuk belajar seseorang itu sendiri perlu melakukan  pembacaan , pemikiran  dan  mencernakan  input yang didapati supaya segala maklumat/data-data itu membawa makna kepada diri. Ini yang tidak atau kurang pelajar lakukan. Mengapa????
Ayoh,  berubahlah..  Masih belum terlambat lagi untuk  mengorak langkah  baru agar kecemerlangan milik kita.

No comments:

Post a Comment